Thursday, March 3, 2022

10 kerusi DUN majoriti tipis PRN Johor

 10 kerusi DUN majoriti tipis tumpuan PRN Johor


JOHOR BAHRU - Sebanyak 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka menjadi medan saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac depan.


Ia susulan majoriti tipis sekitar 98 dan 877 undi yang dimenangi oleh penyandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas, sekali gus meningkatkan risiko kepada calon dan parti untuk mempertahankannya pada PRN Johor kali ini.


Enam daripada kerusi tersebut dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Buloh Kasap, Sungai Balang, Layang- layang, Machap, Kukup dan Parit Raja.


Empat lagi kerusi iaitu Senggarang (Amanah) Pemanis (PKR), Semerah (PKR) dan Paloh (DAP) dimiliki Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR ketika PRU14.


Dalam pada itu penyandang kerusi Semerah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat berdepan risiko untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi memandangkan majoriti dimiliki cukup tipis iaitu 98 undi.


DUN Semerah yang dimenangi wakil PKR Khuzzan Abu Bakar (12,619) berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd. Ismail Roslan (12,521 undi) dan calon Pas, Adnan Othman (4,314 undi).


Selain itu, kerusi dimenangi BN pada PRU14 iaitu Sungai Balang dan Layang- layang turut menarik perhatian apabila majoriti diperoleh hanya 174 undi (Sungai Balang) dan 364 undi (Layang-layang).


Kedua-dua penyandang kerusi DUN terbabit merupakan exco kerajaan negeri iaitu Zaiton Ismail (Sungai Balang) Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor manakala Datuk Onn Hafiz Ghazi (Layang-layang) merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor.

 

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/187593/Pilihan-Raya/PRN-Johor/10-kerusi-DUN-majoriti-tipis-tumpuan-PRN-Johor

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


No comments: